Loading...
Madrasah Tahfiz Taufiqillah
Sumbangan
Icon

Pengenalan

Madrasah Tahfiz Taufiqillah (MTT) merupakan sebuah madrasah yang ditubuhkan pada Oktober 2013 dan diusahakan sepenuhnya oleh pengasasnya Abi Auzaid bin Ismail bersama keluarganya. Ianya terletak di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra, Kedah. Kini, MTT mempunyai seramai 70 orang pelajar bakal Hafiz & Hafizah (Huffaz). Hampir 70 peratus daripada mereka mendapat tajaan sepenuhnya dari MTT disebabkan kurang berkemampuan. Mereka yang mendapat tajaan ini terdiri dari anak yatim, fakir miskin, asnaf, dan muallaf. Sebahagian daripada dana untuk penajaan pelajar-pelajar ini diperolehi dari hasil jualan produk berasaskan kelulut bagi menampung kos operasi madrasah.

Read More

Latar Belakang


  Segala puji bagi Allah SWT yang telah mencipta manusia dan telah mengajarkan manusia bayan (kuasa bertutur dan menjelaskan) serta menurunkan Al-Quran kepada manusia dan telah menjadikan Al-Quran sebagai peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat bagi insan yang beriman tanpa sebarang keraguan terhadapnya. Allah SWT tidak menjadikan Al-Quran menyimpang dan telah menurunkannya sebagai kitab yang lurus, menjadi hujjah (dalil) serta nur bagi insan yang yakin terhadapnya. Selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW yang merupakan sebaik-baik makhluk di kalangan jin dan manusia. Nur baginda SAW telah mencahayakan hati-hati dan kubur. Kelahiran baginda SAW adalah rahmat bagi sekelian alam. Selawat dan salam juga ke atas keluarga dan para sahabat baginda SAW yang merupakan bintang petunjuk dan penyebar Al-Quran dan juga keatas sesiapa sahaja yang mengikuti baginda SAW dengan penuh keimanan. Penubuhan MTT merupakan sebahagian daripada usaha murni untuk meneruskan perjuangan junjungan besar baginda SAW dan para sahabatnya dalam menyebarkan Al-Quran serta mengamalkan keseluruhan maksud Al-Quran dalam kehidupan. Moga usaha MTT ini dirahmati dan diredhai Allah SWT.

   Matlamat utama MTT ditubuhkan adalah untuk mengatasi masalah kekurangan Huffaz Al-Quran khususnya di negeri Kedah. Ini disebabkan bilangan pelajar dan madrasah Tahfiz yang agak terhad. Usaha murni ini diharapkan dapat membantu meningkatkan bilangan penghafazan dan penghayatan Al-Quran dikalangan pelajar tahfiz. Pihak MTT berharap ianya menjadi wadah pendidikan dan tarbiah demi kebaikan umat Islam.

  MTT menyasarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dalam bidang penghafazan Al-Quran. Ia juga akan memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi membentuk insan yang kamil. MTT berusaha untuk melastarikan pendidikan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah untuk menggilap potensi pelajar ke arah pembentukan insan yang berguna dalam mentransformasikan ilmu-ilmu Islam. Selain daripada itu, nilai-nilai Islam perlu diterapkan melalui Tahsin, Tafhim dan Tatbiq Al-Quran dalam kehidupan.

Objektif Penubuhan

  • Melahirkan pelajar yang boleh membaca Al-Quran dengan betul dan seterusnya dapat menghafaz keseluruhan 30 juzuk Al-Quran.
  • Mengingatkan akan kepentingan mempelajari, memahami, dan beramal semasa melaksanakan segala perintah Allah SWT berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
  • Melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dengan berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga akan dibimbing supaya menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
  • Melahirkan pelajar yang dapat menghayati Islam dalam kehidupan mereka serta menimbulkan kesedaran tentang kemuliaan Islam. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka bahawa amalan Islam dapat memberi kejayaan di dunia dan di akhirat.
  • Melatih pelajar supaya berbakti kepada agama, ibubapa, masyarakat dan negara setelah tamat pengajian.
  • Misi

    Menyediakan sistem pengajian dan keadah hafazan Al Quran yang sistematik.

    Visi

    Menjadi Maahad Tahfiz yang unggul dengan melahirkan para huffaz yang kamil.

    Moto

        Ilmu, Faham dan Amal.

    Pentadbiran

      MTT diuruskan di bawah pentadbiran dan pengurusan Lembaga Tadbir dimana ahli-ahlinya dilantik pada mesyuarat penubuhan. Ahli-ahli yang dilantik bertanggungjawab untuk mengendalikan operasi MTT secara sepenuh masa. Ahli Lembaga Tadbir yang dilantik adalah seperti berikut:

    Kewangan

      Sumber kewangan Madrasah diperolehi dari sumber-sumber berikut:

  • Yuran pelajar.
  • Sumbangan derma dari orang ramai dan badan kebajikan.
  • Zakat dan wakaf.
  • Bantuan dari pejabat zakat negeri Kedah.
  • Ternakan lebah madu kelulut
  • Kata Aluan Mudir

    Icon

      Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahirabbil’alamin, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kurniaan rahmat kepada hambaNya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
    Al-Quran merupakan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhamad SAW yang kekal sehingga hari kiamat. Kitab ini merupakan petunjuk kepada jalan yang benar, di mana adalah penting bagi setiap umat Islam mempelajari, memahami dan mengamalkan setiap ajaran, arahan dan larangan yang terkandung di dalamnya.

      Mempelajari Al-Quran merangkumi bacaan yang betul, fasih dari segi makhrajnya serta mengenali hukum tajwid. Umat Islam perlu menghayati pembacaan Al-Quran dengan memahami maknanya serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

    Tanggungjawab ibu bapa ialah menyediakan pendidikan kepada anak-anak untuk kejayaan duniawi dan ukhrawi. Mereka perlu memberikan pendidikan agama terutamanya Al-Quran kepada anak-anak supaya terpelihara dari gejala tidak sihat dalam menjalani kehidupan seharian. Kebanyakan ibubapa kini adalah golongan pekerja dimana mereka tidak berkesempatan untuk mengajar anak membaca Al Quran dengan sempurna.

      Faktor ini telah mendorong MTT ditubuhkan bagi membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa dalam menyediakan pendidikan Al Quran kepada anak-anak. Ianya juga merupakan satu tanggungjawab seorang islam untuk menyebaran ilmu Al Quran yang telah dikurniakan Allah SWT. Tugas MTT kini sem akin mencabar bagi memastikan proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya. MTT mengamalkan pendekatan konsep kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah pelajar, dan kecemerlangan kokurikulum bagi membentuk insan yang kamil. Sehubungan dengan itu, semua warga MTT diharap dapat berusaha bersungguh – sungguh bagi menjayakan matlamat ini.

      Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong MTT sejak dari penubuhannya. Semoga Allah SWT sentiasa dan terus merahmati dan memberkati usaha murni ini.

    Sekian, terima kasih.
    Abi Auzaid bin Ismail
    Mudir Madrasah Tahfiz Tafiquiallliah

    Pengiktirafan

    Sebagai badan NGO dan institusi pendidikan swasta yang menawarkan perkhidmatan pendidikan dan penghafazan Al-Quran, MTT telah mendapat sokongan dan pengiktirafan dari pihak berikut:

  • Berdaftar dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 1978).
  • Mendapat kelulusan JAKIM.
  • Bernaung di bawah Pertubuhan Hal-Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA).
  • Berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal agama Islam Negeri Kedah Darulaman.
  • Sokongan dari imam Masjid Ridzuan Lembah Arang.